Hakim Rozilah Salleh menetapkan 15 Mac ini untuk Dr. K Kunaseegaran yang diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent, mula memberi keterangan bela diri selepas mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap tertuduh.

Pihak pembelaan akan mengemukakan seorang sahaja saksi iaitu tertuduh sendiri.

Mengikut pertuduhan pertama, Kunaseegaran didakwa meminta rasuah sebanyak RM700,000 daripada Abdul Razar Abdullah, 48, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan telefon milik tertuduh pada pukul 11.58 pagi, 29 Ogos 2013.

Wang suapan itu didakwa sebagai upah kerana telah mencadangkan RAZ Medical Supplies Sdn. Bhd., B&S Enterprise dan Caramed Global Sdn. Bhd. untuk menjadi pembekal ubat-ubatan dan perkakas perubatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan bagi tahun 2013.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh sebagai ejen kerajaan didakwa bersetuju menerima wang tunai RM700,000 daripada Abdul Razar sebagai upah kerana melakukan perkara sama, di hadapan Empire Shopping Gallery Subang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 5.15 petang, 3 September 2013.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(A) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada masa yang sama, mahkamah juga mengarahkan tertuduh membela diri terhadap satu lagi pertuduhan pilihan iaitu didakwa mendapat rasuah untuk diri sendiri tanpa pertimbangan balasan daripada individu sama, sedangkan beliau mengetahui tiga syarikat tersebut berkepentingan atau mempunyai hubungan kerja rasmi.

Bagi pertuduhan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Heikal Ismail mengendalikan pendakwaan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sepanjang perbicaraan di peringkat pendakwaan, seramai 16 saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Kunaseegaran kini ditahan di Penjara Sungai Buloh bersama lima lagi individu atas tuduhan membunuh Kevin Morais yang ketika itu dalam perjalanan dari rumah mangsa di Jalan Dutamas 1, Sentul, ke Subang Jaya dekat sini, antara pukul 7 pagi dan 8 malam, 4 September 2015. - UTUSAN ONLINE