Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas mendengar hujahan pasukan pembelaan yang diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan selaku pemohon.

Mahkamah menetapkan pelepasan sementara pasport Tengku Adnan bermula hari ini dan dikembalikan semula pada 28 Februari ini.

Ahli Parlimen Putrajaya itu mengaku tidak bersalah menerima bagi dirinya suatu suapan, iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada seorang ahli perniagaan, Tan Eng Boon melalui cek milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya kerana meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn. Bhd. (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn. Bhd.), untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pilihan iaitu sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, menerima wang berjumlah RM1 juta daripada Eng Boon melalui cek milik syarikat Pekan Nenas Industries dan didepositkan ke dalam akaun CIMB miliknya, yang diketahui ahli perniagaan itu sebagai pengarah di syarikat Nucleus Properties ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Bagi pertuduhan kedua pula, Tengku Adnan didakwa menerima wang berjumlah RM2 juta daripada Chai Kin Kong melalui cek milik syarikat Aset Kayamas Sdn. Bhd. yang didepositkan ke dalam akaun CIMB milik Tadmansori Holding Sdn. Bhd. yang di dalamnya beliau mempunyai kepentingan dengan kerja-kerja rasminya. - UTUSAN ONLINE.