Beliau yang kini bertugas di bahagian urusetia JSJ Bukit Aman dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Hakim Sohaini Alias ketika membacakan keputusannya berkata, tertuduh telah mengisi borang yang disediakan dengan lengkap dan teratur mengikut format yang disediakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut beliau, mahkamah berpandangan tertuduh tiada niat untuk menyembunyikan sebarang fakta yang dikehendaki oleh SPRM.

“Tertuduh telah mematuhi terma notis yang ditetapkan dan sehubungan itu pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pem­belaan.

“Tertuduh didapati tidak bersalah serta dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan. wang jaminan RM30,000 dipulangkan,” kata Sohaini.

Pada 22 Januari tahun lalu, Chin Wah, 59, mohon dibicarakan atas pertuduhan gagal mengisytiharkan segala punca perolehan di dalam penyataan bertulis dengan bersumpah bertarikh 8 Januari 2014 di Ibu pejabat SPRM, Blok D6 Putrajaya antara 23 Disember 2013 dan 21 Januari 2014.

Dengan itu, beliau didakwa dengan sengaja telah gagal mematuhi terma notis Pendakwa Raya di bawah Seksyen 49(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 bertarikh 23 Disember 2013.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 49(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed manakala Chin Wah diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembe­laan iaitu Chin Wah sendiri tampil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 4 Mei tahun lalu.