Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki yang bersidang bersama Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil memutuskan demikian secara sebulat suara terhadap Koperal Jusninawati Abdul Gani, 36, selepas berpuas hati isu-isu yang dibangkitkan dalam rayuannya tiada merit.

Sehubungan itu, kuorum ber­kenaan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Disember tahun lalu yang mensabitkannya atas tuduhan tersebut. Ibu kepada dua orang anak itu menjalani hukuman penjara bermula 22 Mac tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati Jusninawati yang diamanahkan untuk menjaga undang-undang gagal memikul amanah itu hingga menyebabkan seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Abu Kedah, berlepas ke Syria dan terkorban.

Ujar hakim bicara, tugas anggota polis adalah mengumpul maklumat mengenai kumpulan pengganas dan memprosesnya serta memberi maklumat kepada pihak berkuasa.

Sebaliknya, Mahkamah Tinggi mendapati, tertuduh yang merupakan anggota terlatih gagal me­nyalurkan maklumat yang diperolehnya serta masih berhubung dengan anggota lain di Syria meskipun dinasihati polis Bukit Aman untuk tidak melibatkan diri dengan kumpulan pengganas itu.

Jusninawati yang ketika itu bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya didakwa dengan sengaja tidak memberi sebarang maklumat berhubung kesalahan yang dipercayai perbuatan keganasan di IPD itu di antara Ogos 2015 dan Mac tahun lalu.

Sebelum itu, peguam-peguam Faizal Rahman bersama Nik Zarith Nik Moustpha menyatakan, pe­rayu tidak terikat me­nyalurkan maklumat kepada pihak polis kerana dia hanya anggota biasa dan tidak menganggotai pasukan khas yang ditugaskan mengumpul maklumat berkaitan keganasan.

Peguam bela turut berhujah, tiada laporan forensik dikemukakan bagi menyokong ketera­ngan saksi pendakwaan bahawa wujudnya perbualan di antara perayu dan seorang individu bernama Abu Kedah di laman sosial seperti Facebook dan Telegram berhubung pemergian lelaki itu ke Syria.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurshafini Mustafha berhujah, walaupun perayu bukan ditugaskan dalam pasukan khas mengumpul maklumat risikan keganasan, anggota itu terikat menyalurkan maklumat kepada pihak polis.

Hujah pendakwa raya, sejak tahun 2011 perayu telah memperoleh maklumat berhubung rancangan individu-individu tertentu untuk ke Syria hasil komunikasinya dengan mereka di laman-laman sosial, namun dia bertindak berdiam diri dan tidak menyalurkan pemergian Abu Kedah ke sana.

Hujah Nurshafini, wujud keterangan bahawa Jusninawati pernah bertemu Abu Kedah dan lelaki itu memaklumkan bahawa dia berhajat membawa saksi pertama pendakwaan (SP1) Nor Azimah, yang juga merupakan rakan Facebook perayu ke Syria.