Perintah tahanan tersebut dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta SPRM 2009 bermula hari ini hingga 24 Mei depan.


Sebelum itu, Koperal berusia 52 tahun tersebut yang bertugas di Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ditahan di rumahnya di Kuarters IPK sama kira-kira pukul 2.15 petang semalam.


Terdahulu, anggota polis tersebut yang memakai baju lokap berwarna oren dengan tangan bergari tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 9 pagi.


Akhbar semalam melaporkan, sembilan orang termasuk enam pegawai polis direman enam hari bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes sama iaitu menerima rasuah dan melindungi pusat judi haram serta rumah urut di sekitar Melaka.


Mereka yang ditahan termasuk dua Ketua Polis Daerah masing-masing berpangkat Asisten Komisioner dan Deputi Superintendan dan, dua pegawai berpangkat Asisten Superintendan.


Dalam pada itu, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Selangor direman lima hari bagi membantu siasatan menerima suapan bernilai RM5,000.


Inspektor, 35, tersebut ditahan SPRM di di pejabatnya di IPD Subang Jaya kerana didakwa menerima suapan sebagai balasan tidak memfailkan kes terhadap pengadu di mahkamah atas kesalahan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan melalui samaran. - UTUSAN ONLINE