Tang Hsu Maw, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Berdasarkan pertuduhan, Hsu Maw didakwa memukul seekor anjing Rottweiler hitam menggunakan penyodok pasir, di Taman Tayton View , Cheras, kira-kira jam 9.30 malam, 18 November tahun lalu.

Pertuduhan tersebut didakwa mengikut Seksyen 29 (1) (a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman denda  maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hasiah Musa dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Terdahulu, Hasiah mencadangkan kepada pihak mahkamah untuk orang kena saman diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin dan menyerahkan dokumen perjalanan diri kepada mahkamah.

Namun, peguam bela tertuduh, Muhammad Toriq Abd Manaf memohon mahkamah agar mengenakan ikat jamin yang rendah memandangkan tertuduh mempunyai dua anak.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan dokumen perjalanan diri kepada mahkamah. - UTUSAN ONLINE