Perintah tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Melaka, Dorismah Mohd. Idris terhadap lelaki tersebut yang berusia 35 tahun. 

Suspek direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, dan 18(A) Akta Keganasan Rumahtangga 1994. 

Suspek sebelum ini ditahan semalam selepas hadir ke Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka untuk memberi keterangan berhubungan laporan dibuat mangsa yang juga bapa mentuanya berumur 61 tahun. 

Difahamkan, suspek telah memukul isteri dan bapa mentuanya menggunakan tangan selepas berang kerana wanita berusia 35 tahun itu tidak menaiki Grab untuk pulang ke rumah, sebaliknya dihantar oleh warga emas berkenaan. 

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi di sebuah rumah di Ayer Keroh Heights di sini pada 31 Disember lalu.

Berikutan kejadian itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Melaka. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar ketika dihubungi mengesahkan perintah tahanan reman tersebut. - UTUSAN ONLINE