Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Shariff Abu Samah memutuskan demikian terhadap Datuk Joseph Kow Hock Beng, 59, selepas menolak rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan ahli perniagaan tersebut pada 28 April tahun lalu.

“Tiada merit dalam rayuan perayu (pendakwaan) oleh itu mahkamah mengekalkan keputusan hakim Mahkamah Se­syen untuk tidak memanggilnya membela diri,” kata beliau.

Hock Beng sebelum ini dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah pada 11 November 2013 atas pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk mene­rima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Berhad.

Dia didakwa melakukan kesa­lahan itu di Jalan Kuchai Maju 6, Melalui Jalan Kuchai Lama, di sini antara 10 Januari 2011 dan 1 Oktober 2012.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof manakala Hock Beng diwakili peguam-peguam, Datuk Nicholas Kow dan Emile Ezra Hussain.