Saman tersebut difailkan di Mahkamah Tinggi di sini pada 16 Oktober lalu. 

Menurut pernyataan tuntutan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mendakwa, Mohammed Hanif yang dinamakan sebagai pihak defendan telah hadir sebagai panel Konvensyen Karamah Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 6 September lalu dengan niat jahat telah membuat kata-kata fitnah. 

Pernyataan itu menurut Kit Siang selaku pihak plaintif telah disiarkan oleh akhbar Sinar Harian. 

Pihak plaintif mendakwa, kata-kata tersebut membawa maksud antaranya, dia tidak beretika, seorang penjenayah, tidak bertanggungjawab dan berniat mengarahkan DAP untuk memisahkan atau membahagikan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian berdasarkan kaum, berniat untuk memecahbelahkan kaum Melayu dan Cina dan seorang yang rasis.

Pernyataan itu dakwa pihak plaintif,  telah merendahkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen dan namanya tercemar di mata masyarakat. 

Pihak plaintif sehubungan itu memohon supaya pihak defendan memohon maaf, menarik balik kata-kata itu, menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta satu injunksi bagi menghalang pihak defendan daripada mengulangi kata-kata tersebut. 

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Mohammed Hanif memberitahu pemberita, pada pengurusan kes kali pertama di hadapan Timbalan Pendaftar, Siti Norhidayah Mohd. Noor hari ini menetapkan 5 Disember ini untuk pihak defendan memfailkan pernyataan pembelaan dan juga mengemukakan tuntutan balasnya.

Mahkamah juga menetapkan 19 Disember ini untuk Kit Siang memfailkan balasan kepada pernyataan pembelaan yang akan difailkan.

Siti Norhidayah selain itu menetapkan 20 Disember ini untuk pengurusan kes saman itu. -UTUSAN ONLINE