Kes itu sebelum ini ditetapkan untuk perbicaraan selama enam hari mulai 1 November dan lagi tiga hari bermula 12 Disember ini. Tertuduh warga Indonesia, Siti Aisyah, 26, dijadualkan memberi keterangan secara bersumpah pada tarikh tersebut.

Penangguhan tersebut dimohon oleh firma guaman Tetuan Gooi & Azura yang mewakili tertuduh warga Indonesia, Siti Aisyah melalui surat bertarikh 21 September lalu. Pengurusan kes berkenaan telah ditetapkan pada 2 November ini dan pihak-pihak terlibat diminta untuk bersedia dengan tarikh-tarikh perbicaraan baharu pada 2019.

Sementara itu, salah seorang peguam bela tertuduh berkenaan, S. Selvi ketika dihubungi mengesahkan pihaknya yang memohon penangguhan tersebut dan meminta tarikh yang ditetapkan pada November dan Disember ini dilapangkan.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan alasan pihaknya berbuat demikian.

Pada 1 September lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad memohon bantuan orang ramai untuk mengesan dua wanita warga Indonesia, Raisa Rinda Salma, 24, dan Dessy Meyrisinta, 33, yang diperlukan sebagai saksi kes tersebut. - UTUSAN ONLINE