Hakim Rohatul Akmar Abdullah memutuskan untuk tidak memanggil Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) itu membela diri atas pertuduhan tersebut selepas mendapati adalah tidak selamat untuk berbuat demikian ekoran kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie.


Khalid dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah pada 26 Ogos 2014 atas tuduhan mengeluarkan pernyataan berbaur hasutan berhubung kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen, 17 Jun tahun sama.


Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu ketika membacakan keputusannya, Rohatul Akmar memberitahu, beliau telah meneliti dan menimbang setiap perkataan yang diucapkan oleh Khalid secara keseluruhan.


“Mahkamah berpendapat perkataan-perkataan yang diucapkan merupakan satu cadangan bagi mengkaji semula peranan MAIS agar tidak menjejaskan Sultan atau Islam itu sendiri. Ia merupakan satu pendapat untuk menambah baik MAIS. Cadangan dan pandangan merupakan satu komen yang dibenarkan dan berpatutan,” katanya.


Sementara itu, Khalid yang diwakili peguam-peguam bela, Mohamed Hanipa Maidin dan Zulhazmi Shariff menyatakan rasa lega dengan keputusan mahkamah hari ini.


“Saya tidak pernah berniat untuk mengeluarkan kenyataan menghasut. Saya membuat kenyataan tersebut bagi menjaga imej Sultan Selangor dan bagi memastikan institusi raja berperlembagaan dihormati,” katanya.