Peguam Sarah Abishegam yang mewakili Khairy memberitahu pemberita, pihaknya mahu membuat pindaan untuk memasukkan elemen bahawa kenyataan Ahli Parlimen Rembau itu merupakan suatu komen yang adil.

Perkara tersebut menurut Sarah, telah dimaklumkan oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah sendiri sebelum peguam utama mewakili Khairy itu memohon Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Azizul Azmi Adnan membenarkan penghujahan pada akhir kes yang dijadualkan hari ini ditangguhkan atas alasan beliau (Muhammad Shafee) sedang bercuti sakit.

Mahkamah kemudian me­netapkan 2 Jun ini untuk men­dengar permohonan Khai­ry dan penghujahan pi­hak-pihak yang terlibat dalam kes itu.

Anwar selaku pihak plaintif menyaman Khairy pada 7 Mac 2008 bagi me­nuntut ganti rugi RM100 juta de­ngan mendakwa menteri tersebut ­menge­luarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk Anwar and kin no threat di­siarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.

Sementara itu, Anwar ketika ditanya mengenai kedudukan tiga Exco Pas dalam kerajaan negeri Selangor berkata, beliau mahu Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meneruskan perbinca­ngan sebelum membuat kata putus.

Nasib tiga Exco Pas tersebut, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Dr. Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Ta­lib menjadi persoalan selepas Majlis Syura Ulama Pas membuat keputusan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man semalam berkata, mengikut Perkara 53 Fasal 7 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 kedudukan ketiga-tiga Exco tersebut terletak di bawah kuasa Sultan.