Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof selepas membenarkan permohonan Anwar.

Kuorum berkenaan antara lain berpuas hati bahawa notis rayuan yang difailkan oleh Khairy adalah cacat dan tidak mematuhi prosedur tertentu seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam satu kes lain.

Panel tersebut juga menolak permohonan Ketua Pemuda UMNO itu untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan hari ini sementara menunggu permohonan kebenaran merayu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan. Permohonan itu akan difailkan esok.

Khairy yang diwakili oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah turut diperintah membayar kos RM10,000. Anwar diwakili oleh R. Sivarasa.

Khairy merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 September tahun lalu yang memerintahkannya membayar ganti rugi RM150,000 dan kos RM60,000 kerana memfitnah Anwar berhubung penyebaran klip video pada 20 Februari 2008 bertajuk  'Anwar and kin no threat' yang disiarkan dalam laman web, termasuk Malaysiakini.com.

Hakim Azizul Azmi Adnan membuat keputusan itu selepas membenarkan saman fitnah yang difailkan oleh Anwar dan menolak permohonan Khairy untuk meminda pernyataan pembelaannya. - UTUSAN ONLINE