A. A. Murugan 48, seorang mekanik yang merupakan bekas tertuduh dalam kes itu berkata Dr Kunaseegaran memberitahu perkara itu ketika kesemua mereka berada dalam tahanan reman.

“Ya, dia ada bagi tahu,” katanya ketika ditanya peguam V. Rajehgopal, adakah saksi itu bersetuju bahawa Dr Kunaseegaran mahu melantik peguam kepada semua tertuduh dan menanggung yuran guaman kerana doktor tentera itu merasa bersalah apabila tertuduh lain ditahan atas kesalahannya.

Murugan menjawab demikian ketika pemeriksaan balas Rajehgopal yang mewakili empat tertuduh iaitu R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath dan S. Nimalan pada perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah, hari ini.

Saksi itu merupakan tertuduh kelapan yang telah bebas setelah menjalani hukuman penjara selama dua tahun atas kesalahan membantu menghilangkan nombor chasis dan menghapuskan kenderaan Kevin Morais mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, Murugan didakwa atas pertuduhan membunuh Kevin Morais namun dia ditawarkan pertuduhan alternatif membantu menghilangkan nombor chasis kenderaan Kevin Morais dan dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Ketika pemeriksaan balas peguam A. Sheelan yang mewakili tertuduh S. Ravi Chandaran, Murugan berkata kesemua tertuduh bersetuju untuk menerima tawaran Dr. Kunaseegaran untuk melantik peguam kerana mereka tidak berkemampuan dan mempunyai masalah kewangan.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan Sheelan bahawa tidak lama selepas itu Dr. Kunaseegaran memberitahu dia tidak akan membayar yuran guaman sebagaimana yang dijanjikan kerana pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang memantaunya.

Murugan turut bersetuju bahawa selepas Dr Kunaseegaran memberitahu demikian, dia yang ketika itu diwakili seorang peguam yang merupakan saudaranya telah memberitahu Ravi Chandaran atau lebih dikenalinya sebagai Selvam yang dia mahu mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif kerana dia tidak mempunyai pilihan lain (untuk membayar peguam).

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin apakah alasan sebenar yang menyebabkan Dr Kunaseegaran mahu melantik peguam dan membayar yuran guaman kepada semua tertuduh itu, Murugan berkata dia tidak tahu.

Dinishwaran, 27, Thinesh Kumar, 26, Vishwanath; 29, Nimalan, 26, Ravi Chandaran, 48, dan Dr Kunaseegaran, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini Dr Kunaseegaran diwakili peguam Jay Moy Wei Jiun. Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA