Perintah tahanan reman terhadap wanita berusia 41 tahun itu bersama-sama tiga kontraktor lelaki berusia antara 34 hingga 43 tahun dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Rashidah Azmi.

Terdahulu, tiga kontraktor terbabit tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 9.20 pagi diikuti penjawat awam tersebut kira-kira sejam kemudian.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan keempat-empat individu terbabit kerana disyaki terlibat membuat tuntutan palsu bernilai RM1.2 juta.

Mereka disyaki terlibat dalam membuat tuntutan palsu berhubung pembekalan dan perkhidmatan untuk Kementerian Pelancongan yang melibatkan program-program pelancongan di Pulau Langkawi.

Pembayaran untuk kerja-kerja tersebut yang sebenarnya tidak dilaksanakan, telah dibuat antara 2014 hingga 2016 iaitu ketika wanita itu yang kini bertugas di ibu pejabat ICU, Putrajaya, berkhidmat di negeri ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan tuntutan palsu dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Dalam pada itu, seorang lelaki warga emas dipercayai ahli keluarga kepada penjawat awam terbabit bertindak menghalang sekumpulan pengamal media daripada merakamkan gambar wanita berkenaan dengan menendang ke arah kumpulan tersebut.

Tindakan lelaki itu terkena kamera milik jurugambar Utusan Malaysia, Fariz Rusadio, namun tiada kerosakan pada peralatan tersebut sebelum individu terbabit memohon maaf. - UTUSAN ONLINE