Mengikut pertuduhan, Indraa Izwaan Mohd. Yusof, 35, didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 33 tahun itu dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa di hadapan lif Blok B, Tingkat 4, Kelana Jaya Business Centre, Jalan SS7/2 dekat sini antara pukul 9.50 pagi dan 10 pagi, 18 September 2014.

Pertuduhan tersebut dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda serta sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Majistret Nurulhuda Zakariya membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud, diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 April ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE