Huziana Othman, 49, yang merupakan Ketua Jururawat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah dan Noorashikin Azmi, 38, masing-masing didakwa atas pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM500,000 setiap seorang yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun milik mereka di Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) ke dalam Koperasi Amanah Pelaburan Bhd. pada 13 Jun dan 19 April 2016.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan tersebut yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail dan Hakim Madihah Harullah.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sementara itu, Noorashikin yang juga suri rumah turut didakwa menerima wang berjumlah RM28,324.50 daripada akaun Bank Public Islamic Bhd. milik sebuah syarikat teknologi maklumat, Techies Two Sdn. Bhd. ke akaun bank miliknya di antara 28 Oktober 2016 hingga 28 Mac 2017 di Bank Affin Islamic Bhd. Tingkat 17, Menara Affin, Jalan Raja Chulan, di sini.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) akta sama.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin  RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mac ini di Mahkamah Sesyen Alor Setar untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE