Salim Mohamod Shafie, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang didakwa dilakukan di dalam bilik di sebuah rumah di Jalan Mewah 1/3, Taman Pandan Mewah dekat sini kira-kira pukul 6.30 pagi, 12 September lalu.


Mengikut pertuduhan, Salim didakwa telah menakutkan mangsa yang merupakan penganalisis teknologi maklumat (IT) berusia 33 tahun itu dengan menghantar mesej “I juga akan cari bapa you sebab dulu pukul tapi dia lari. Mari kita tengok. Jika you nak tengok I ganas jangan you menyesal kemudian hari sudahlah. I upah ah long siapkan parang panjang, pendek dan asid. Bawa asid saya akan mencubanya kepada kamu.”

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan manakala Salim yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan menanggung ahli keluarga dan tiga anak termasuk seorang daripadanya masih bersekolah dengan gaji RM15,000 sebulan.


Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 15 November ini untuk sebutan kes. - UTUSAN ONLINE