Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Tan Sri Hasan Lah dan Datuk Balia Yusof Wahi turut memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM350,000 serta kos RM10,000 kepada wakil rakyat pembangkang itu.

Pada 26 Julai tahun lalu,  Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan responden lain gagal menunjukkan bukti yang mencukupi bahawa pegawai yang menangkap Teresa mempunyai alasan munasabah dan substantif untuk bertindak demikian.

Panel berkenaan memerintahkan Teresa dibayar RM200,000 sebagai ganti rugi am serta RM150,000 ganti rugi teruk dan teladan.

Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak saman Teresa terhadap Syed Hamid, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, DSP E Kim Tien dan kerajaan Malaysia.

Pada 13 Mac, 2009, Teresa memfailkan saman terhadap empat pihak itu dengan mendakwa beliau telah ditangkap dan ditahan secara salah di bawah ISA.

Dalam kenyataan tuntutan, Kok berkata beliau telah ditangkap oleh defendan di pintu masuk ke kediamannya di Pearl Tower, OG Heights pada  pukuk 11.15 malam, 12 September 2008, dan ditahan selama dua jam tanpa dibenarkan menghubungi saudara terdekat atau peguamnya. - UTUSAN ONLINE