Penyelesaian tersebut direkodkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di kamar hakim dengan kehadiran peguam Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin mewakili Sivarasa yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan peguam Datuk S. Satharuban bagi pihak Tengku Adnan. 

Dalam pernyataan tuntutan bertarikh 7 Jun tahun lalu Sivarasa mendakwa, Tengku Adnan mempunyai pengetahuan berkenaan kenyataan beliau (Sivarasa) pada 31 Mei tahun lalu yang menafikan sebarang ceramah politik disampaikan olehnya pada upacara di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang pada 24 Mei 2017.

Sivarasa selaku pihak plaintif menyatakan, perkataan-perkataan tersebut membawa maksud antaranya, beliau seorang yang tidak menghormati tempat ibadat umat Islam, tidak layak memegang tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan menggalakkan kegiatan perjudian.

Perkataan yang didakwa berbaur fitnah itu menurut pihak plaintif, telah mengakibatkan karakternya dan reputasinya tercemar teruk di mata umum dan dalam kalangan masyarakat.

Pihak plaintif sehubungan itu menuntut ganti rugi am dan ganti rugi teruk daripada Tengku Adnan. -UTUSAN ONLINE