Perkara tersebut ditentukan berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang mengarahkan perbicaraan kes saman itu didengar semula di hadapan hakim Mahkamah Tinggi berlainan. Pengurusan kes ditetapkan pada 6 Mac ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Zabariah Mohd. Yusof memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Hasan.

Kuorum itu berpuas hati bahawa Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika membatalkan pembelaan Hasan pada 16 Disember 2016 sewaktu mencapai keputusan yang memihak kepada Khalid.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng ketika itu mendapati Hasan bersalah memfitnah Ahli Parlimen Shah Alam itu berdasarkan keterangan Khalid dan dua saksi.

Panel berkenaan dalam keputusannya turut mengetepikan dapatan berhubung liabiliti dan ganti rugi yang dicapai oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Januari tahun lalu.

Hasan mendakwa Khalid yang ketika itu ahli Jawatankuasa Pas Pusat menggalakkan penjualan arak dan kewujudan rumah-rumah urut di Selangor, ketika berucap pada suatu majlis forum terbuka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

Hasan diwakili oleh peguam Datuk Hasnal Rezua Merican manakala Khalid diwakili oleh Faiz Fadzil. - UTUSAN ONLINE