Penyelesaian itu direkodkan dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosilah Yop dan tiada sebarang perintah terhadap kos.

Jason ketika dihubungi Bernama berkata, kes tersebut diselesaikan secara baik dengan kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya.

"Kenyataan saya sebelum ini semasa sidang media pada tahun 2016 adalah merujuk kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan bukannya terhadap plaintif ( Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd),"katanya.
Consortium Zenith, syarikat yang diberi kepercayaan membina terowong itu, memfailkan saman pada 8 Ogos 2016 selepas mendakwa Jason selaku defendan, pada 23 Jun 2016, telah mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah terhadap syarikat itu, yang kemudian diterbitkan dalam portal berita Malaysiakini pada hari sama.

Syarikat itu mendakwa kenyataan Loo itu turut mempersoal kredibiliti kerja syarikat terbabit selain mendakwa ia tidak boleh dipercayai, tidak jujur, penipu dan terlibat dalam aktiviti rasuah.

Syarikat berkenaan yang mendakwa reputasinya terjejas akibat kenyataan fitnah itu menuntut ganti rugi am, teladan dan melampau, faedah, kos serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah selain memohon satu injunksi untuk menghalang defendan atau pekerjanya daripada menerbitkan semula perkataan fitnah.

Tiga projek lebuh raya itu ialah jalan berkembar 12 kilometer (km) dari Jalan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang; lencongan 4.6km dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan lencongan 4.2km dari Gurney Drive ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu. - BERNAMA