Saman tersebut berhubung penyiaran artikel, ‘Hebat Sangatkah Adnan’ yang disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia pada 9 November tiga tahun lalu. 


Peguam Azhar Aman Ali yang mewakili UMMB memberitahu pemberita, Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad memberikan cadangan tersebut semasa pihaknya dan peguam Americk Sidhu yang mewakili Adnan menghadiri pengurusan kes di kamar hakim.


Menurut peguam itu, proses mediasi itu akan dijalankan sendiri oleh Hakim Nik Hasmat pada 4 Ogos ini. 


“Jika mediasi gagal, perbicaraan akan diteruskan pada 7,8,10 dan 11 Ogos ini, “ ujar Azhar.


Mahkamah Persekutuan pada 13 Februari lalu memerintahkan supaya saman Adnan dibicarakan di Mahkamah Tinggi untuk meritnya didengar dan diputuskan. 


UMMB merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 23 Julai 2015 yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman fitnah berhubung artikel tersebut yang diterbitkan di bawah ruangan Analisis Mingguan Bisik-Bisik Awang Selamat.


Dalam tuntutan saman tersebut, Adnan selaku pihak plaintif mendakwa artikel itu membawa maksud seolah-olah beliau tidak sesuai memegang jawatan Menteri Besar Pahang, gagal dalam menjalankan tugas, telah terlalu lama dalam jawatannya dan seorang yang berpura-pura.


Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2016, memutuskan Adnan tiada hak di sisi undang-undang atau locus standi untuk mengemukakan saman fitnah terhadap UMMB atas kapasitinya selaku seorang pemimpin negeri. - utusan