Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi, bagaimanapun, tarikh pengurusan kes akan ditetapkan kemudian.

Terdahulu, peguam Ridha Abdah Subri yang mewakili Rizal memaklumkan permohonan untuk kes anak guamnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi adalah untuk tujuan perbicaraan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib tidak membantah permohonan pihak pembelaan itu.

Pada 15 November tahun lalu, Rizal Mansor, 45, didakwa masing-masing atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak, tiga tahun lalu.

Ahli perniagaan itu didakwa atas satu pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM187.5 juta bagi pihak bekas isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak Holdings), Saidi Abang Samsudin bagi mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion itu secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Beliau juga didakwa atas satu pertuduhan meminta RM25 juta daripada Saidi sebagai dorongan untuk memastikan Rosmah membantu syarikat itu mendapatkan projek tersebut.

Tertuduh yang pernah bekerja sebagai pembantu khas Rosmah turut didakwa atas dua pertuduhan menerima suapan RM5 juta bagi pihak Rosmah dan RM500,000 untuk dirinya daripada Saidi sebagai upah membantu syarikat mendapatkan projek berkenaan.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum dibawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi. - UTUSAN ONLINE