Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Muhammad Khairul Nizzam Kassim berkata, penubuhan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadanah dan Nafkah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan juga akan memastikan hampir 50,000 tuntutan cerai, hadanah penjagaan anak, nafkah anak, harta sepencarian dan lain-lain yang ada pada hari ini dapat diselesaikan dengan segera.

“Kita meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menyelesaikan setiap kes berkenaan dalam tempoh 180 hari dengan pertambahan seramai 23 perjawatan baharu terutamanya hakim-hakim dan pegawai mahkamah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas me­ngenai Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadanah dan Nafkah di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan yang dirasmikan penubuhannya oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam.

Muhammad Khairul Nizzam berkata, walaupun begitu terdapat juga kes-kes yang mengambil masa untuk diselesaikan termasuklah pertikaian suami atau isteri yang tidak bersetuju untuk bercerai, menggunakan pelbagai medium di luar mahkamah ketika melafazkan cerai, tuntutan secara taklik dan sebagainya.

“Namun dengan adanya mah­kamah khas ini, semua kes tersebut akan diselesaikan dengan segera.

“Ini kerana jika berlaku penangguhan akan menyebabkan ber­­­­lakunya penganiayaan terutamanya kepada anak-anak dan isteri-isteri yang digantung tidak bertali,” katanya.

Menurutnya lagi, dari aspek prosedur perbicaraan, masa bersidang adalah seperti biasa tanpa perlu penambahan masa.

“Cuma di Mahkamah Khas ini perbicaraan pihak-pihak ber­kenaan akan ditetapkan secara berturut-turut untuk selesaikan keterangan dan hujah masing-masing.

“Tarikh seterusnya adalah untuk keputusan mahkamah terhadap kes berkenaan,” katanya.

Menurutnya lagi, pengkhususan jenis kes yang diagihkan ke dewan Mahkamah Khas ini juga secara asasnya akan menyebabkan bilangan kes yang dikendalikan di dewan tersebut akan dihadkan dan berfokus.

“Ini secara tidak langsung akan menyebabkan pengendalian kes itu akan lebih lancar dan cepat,” katanya.

Keperluan lain yang diperlukan oleh mahkamah khas itu termasuklah keperluan sokongan logistik seperti kemudahan teknologi maklumat, mengubah suai bilik hadanah dan keperluan-keperluan asas dalam pemerkasaan unit Bailif.