Keputusan itu dibuat selepas Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali membenarkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke mahkamah tersebut yang difailkan oleh pihak pembelaan pada bulan lalu.

“Saya membenarkan permohonan atas alasan kepentingan keadilan dan ekoran tiada bantahan daripada pihak pendakwaan,” katanya.

Walau bagaimanapun, mahkamah tinggi mana yang akan mendengar kes itu masih belum ditetapkan.

Pada 4 Oktober lalu, Rosmah, 67, didakwa atas 12 pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram dengan cara membenarkan kemasukan wang berjumlah lebih RM7 juta ke dalam akaun bank miliknya dan lima pertuduhan gagal membuat penyata pendapatan.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, tingkat bawah, 148 Jalan Ampang, di sini dan Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini antara 4 Disember 2013 dan 1 Mei 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala Rosmah diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.