Tertuduh, Mohamad Harkam Mustafa, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Yusoff Abdullah.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Harkam didakwa dengan sedar menyembunyikan keterangan tentang kecederaan Penguatkuasa Kastam, Anisah Ali yang disyaki sengaja dilanggar sehingga menyebabkan kematian.

Perlakuan itu juga didakwa dengan niat bagi melindungi ‘Pok Ngoh Roni’ daripada hukuman undang-undang di Kampung Banggol Chicha di sini, pada pukul 1.25 pagi, 7 Oktober 2016.

Kesalahan yang dilakukan bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ainun Zafirah Abd. Halim dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 September depan.

Akhbar dua tahun lalu melaporkan, seorang pegawai Kastam wanita maut selepas kenderaan rasmi yang dinaiki bersama dua lagi anggota lelaki dilanggar pacuan empat dipercayai tonto yang cuba menyeludup rokok tiruan.

Mangsa yang berumur 54 tahun ketika itu meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada pukul 11 malam selepas parah akibat kemalangan. - UTUSAN ONLINE