NAJIB RAZAK
NAJIB RAZAK 

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pasukan pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Amir Nasrudin untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, tarikh pengurusan kes akan ditetapkan kemudian.

Sementara itu, peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib dan Datuk N. Sivananthan bertindak bagi pihak Arul tidak membantah permohonan pihak pendakwaan itu.

Pada 12 Disember lalu, bekas Perdana Menteri itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan perlindungan daripada dikenakan tindakan tatatertib berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Mengikut pertuduhan, Najib, 66, didakwa telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri mengarahkan agar Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum ia dimuktamadkan dan dibentang kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) bagi melindungi diri daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berhubung syarikat pelaburan itu.

ARUL KANDA
ARUL KANDA 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, Arul pula didakwa bersubahat dengan Najib untuk meminda laporan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) SPRM 2009 di baca bersama Seksyen 23 (1) & 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya di antara 22 dan 26 Februari 2016. - UTUSAN ONLINE