Koroner Mahyon Talib tiba di lokasi kejadian pada pukul 1.20 tengah hari diiringi Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi, peguam pemerhati bagi pihak keluarga Smit, 19, Sankara Nair dan beberapa anggota polis serta saksi ketiga inkues, warga Indonesia, Suparman yang tinggal di unit kondominium yang terletak di tingkat enam, tempat model tersebut ditemukan terjatuh pada 7 Disember 2017.

Lawatan Mahkamah Koroner itu dibawa ke beberapa lokasi di sekitar kondominium mewah itu sebelum menuju ke tingkat 6 dan sebuah unit di tingkat 20 yang didiami pasangan suami isteri warga Amerika Syarikat dan Kazakhstan, iaitu kali terakhir Smit dilihat berada di situ.

Bagaimanapun, hanya media antarabangsa dibenarkan melawat kedua-dua unit kondominium tersebut sementara media tempatan diminta oleh pegawai penyiasat untuk menunggu di lobi sahaja.

Terdahulu, ketika prosiding, saksi kedua inkues, Lans Koperal Cornelius Anak Nandung yang bertugas sebagai jurufoto Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu mahkamah dia telah mengambil 45 keping gambar di kediaman pasangan berkenaan.

“Saya telah mendapat arahan daripada pegawai penyiasat untuk mengambil gambar di lokasi kejadian pada pukul 10 malam, 12 Disember 2017.

“Antara gambar yang diambil adalah sebuah kotak yang mengandungi alat permainan seks dan sekotak kondom yang telah dibuka ditemui di dalam sebuah bilik di unit tingkat 20,” katanya.

Ketika ditanya Sankara sekiranya kondom itu telah digunakan, Cornelius hanya menjawab tidak pasti.

Sementara itu, Suparman memberitahu mahkamah bahawa ketika pulang dari rumah majikannya di Bangsar pada pukul 2 petang, hari kejadian dia telah melihat penghadang balkoni di unitnya runtuh sebelum menelefon pihak pengurusan kondominium.

“Saya tidak melihat sebarang kelainan selain daripada penghadang yang runtuh dan pihak pengurusan ada memberitahu bahawa kerosakan sebegini hanya terjadi sekiranya ada benda yang jatuh dari atas,” katanya.

Ketika disoal Sankara, mengapa dia tidak berminat untuk melihat dengan lebih dekat, Suparman menjawab dia fikir ketika itu hanya ingin membaiki penghadang balkoni yang runtuh.

Pada 7 Disember 2017, akhbar melaporkan, mayat model warga Belgium yang dipercayai di bawah pengaruh dadah dan alkohol itu ditemukan tersangkut di balkoni sebuah unit kediaman di tingkat enam kondominium tersebut dalam keadaan berbogel kira-kira pukul 12 tengah hari.

Difahamkan, pada malam sebelum kejadian, mangsa telah keluar berhibur di pusat hiburan bersama pemilik kediaman di tingkat 20 itu yang merupakan seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya warga Kazakhstan.

Pendengaran di hadapan Koroner Mahyon bersambung Jumaat ini bersama saksi inkues seterusnya.