M. Visvanathan yang mewakili Syed Mohamed Nur Ali berkata, walhal Jabatan Peguam Negara sendiri yang telah mendakwa tiga anggota polis terbabit di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor atas tuduhan menyebabkan kematian anak Syed Mohamed Nur, Syed Mohd. Azlan, empat tahun lalu.

Menurut beliau, Jabatan Peguam Negara adalah sebuah badan kerajaan yang sepatutnya mewakili kesemua masyarakat dan bukan hanya mewakili Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Adakah wajar tindakan pihak Jabatan Peguam Negara yang sebelum ini membuat pendakwaan terhadap ketiga-tiga tertuduh di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kematian secara cuai atau membunuh tanpa niat, secara tiba-tiba menukar pendirian untuk mewakili kesemua mereka di dalam perbicaraan saman yang difailkan?


“Malah kesemua prosiding perbicaraan bagi kes saman ini juga diarah untuk ditangguhkan sehingga prosiding perbicaraan rayuan jenayah yang dihadapi oleh ketiga-tiga tertuduh digugurkan,” katanya dalam sidang akhbar berhubung kes itu di pejabat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di sini hari ini.

Dalam kes tersebut, tiga anggota polis, Weddrin Mojingkin, Joshua Perait dan Muhammad Bunyamin telah dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan menyebabkan kematian Syed Mohd. Azlan.

Ketiga-tiganya bagaimanapun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 27 Disember tahun lalu. Pihak pendakwaan kemudian telah memfailkan rayuan pada 3 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Johor Bahru dan kini kes itu sedang dalam proses rayuan.

Pada 1 November 2017, bapa mangsa, Syed Mohamed Nur telah memfailkan saman terhadap ketiga-tiga anggota polis itu dan 11 yang lain bagi menuntut ganti rugi kerana didakwa telah menyebabkan kecederaan dan kematian anaknya itu pada 3 November 2014.

Kes saman tersebut sepatutnya dibicarakan pada 14 hingga 16 Ogos lalu tetapi Jabatan Peguam Negara yang mewakili 11 defendan terbabit telah memohon penangguhan perbicaraan sementara menunggu selesai rayuan dalam kes jenayah.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonan penangguhan itu, Peguam Kanan Persekutuan, Thalha Bachok menyatakan, sekiranya rayuan timbalan pendakwa raya ditolak ataupun ditarik balik, status Weddrin, Joshua dan Muhammad sebagai individu yang dibebaskan daripada pertuduhan jenayah adalah muktamad dan mereka berhak untuk diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan.

Sementara itu, Visvanathan turut meluahkan rasa kecewa terhadap pimpinan kerajaan baharu, Pakatan Harapan yang dilihat lebih mementingkan kes 1Malaysian Development Berhad (1MDB) sehingga mengabaikan kes isu hak asasi manusia seperti ini.

“Pihak kami jangkakan dengan pimpinan kerajaan baharu ini akan ada keadilan dalam kes seperti ini, namun jangkaan kami meleset apabila pimpinan di bawah kerajaan baharu ini adalah lebih teruk berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pihak Jabatan Peguam Negara perlu melakukan sesuatu, kami mahu keadilan bagi pihak ahli keluarga mangsa,” katanya.

Ahli keluarga mangsa iaitu bapa, ibu dan abang mangsa turut hadir dalam sidang akhbar tersebut dengan harapan mendapat keadilan bagi pihak anak dan adik mereka yang meninggal dunia dalam tahanan polis.

Pada 25 November 2014, polis Johor menyatakan kematian Syed Mohd. Azlan yang merupakan suspek kes rusuhan, selepas ditahan dalam satu serbuan di Pengerang pada 3 November 2014, adalah sebagai kematian mengejut.