Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Wan Abdul Malik Wan Sidek ketika mengesahkan perkara itu berkata, hukuman tersebut yang awalnya ditetapkan hari ini belum dapat dilakukan atas sebab-sebab teknikal yang perlu diselesaikan bagi membolehkan pelaksanaannya dijalankan mengikut prosedur.

“Beberapa jabatan akan terlibat dalam hukuman itu dan ada beberapa masalah teknikal yang

perlu diselesaikan terlebih dahulu. Jadi adalah lebih baik menangguhkan pelaksanaan hukuman itu,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Beliau seterusnya mengesahkan hukuman yang akan dilaksanakan tepat pukul 10 pagi di

dalam kamar Mahkamah Tinggi Syariah di sini, bakal dikendalikan oleh pihak Jabatan Penjara Malaysia.

Pasangan berusia 22 dan 32 tahun itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah (hubungan sejenis).

Selain hukuman sebat, mereka turut berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal menjelaskan denda RM3,300 yang ditetapkan. Mereka telah dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu hukuman dilaksanakan.

Kes tersebut timbul di tengah-tengah kehangatan perdebatan awam berkaitan isu lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT) apabila hak golongan itu semakin lantang disuarakan.

Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman pada 12 Ogos lalu terhadap pasangan yang dituduh cuba melakukan hubungan sejenis ketika ditahan di dalam sebuah kereta di Dungun April lalu.

Hakim Kamalruazmi Ismail dalam penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan adalah serius dan bertentangan dengan fitrah yang ditentukan Allah dan hukuman setimpal perlu dikenakan bagi memberi peringatan dan pengajaran kepada pesalah serta masyarakat umum.

Bagaimanapun Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menyelar keputusan itu yang dianggap menghina, merendahkan dan seolah-olah suatu usaha tindakan memalukan wanita terbabit dan keluarga mereka.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail dalam satu kenyataan menyifatkan hukuman itu bertentangan dengan nilai martabat manusia, dan tidak selari dengan komitmen menjaga maruah seseorang seperti yang dianjurkan dalam setiap agama. - UTUSAN ONLINE