Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, kesemua kes di semua peringkat mahkamah-mahkamah atasan dan rendah akan terus didengar dan diputuskan oleh pihak mahkamah.

Menurutnya, sebarang permintaan bagi penangguhan sebarang kes hendaklah dibuat kepada mahkamah yang berkenaan secara lazimnya.

"Sememangnya menjadi suatu fungsi kehakiman yang lazim untuk seorang hakim memutuskan sama ada mana-mana penangguhan seharusnya ditolak atau dibenarkan.

"Penubuhan RCI tidak bermaksud penangguhan kesemua kes secara automatik atau menyeluruh akan berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini memaklumkan kerajaan akan menubuhkan RCI berhubung dakwaan wujud salah laku oleh hakim.

Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan RCI berkenaan masih belum memiliki sebarang terma yang mana perkara itu akan ditetapkan kemudian.

Mengulas lanjut, Tommy menjelaskan, penelitian terkini ke atas cabang kehakiman kerajaan bukanlah yang pertama kali berlaku dalam sejarah negara ini sebaliknya pada 1988, dua tribunal telah ditubuhkan di bawah Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan untuk menyiasat dakwaan salah laku kehakiman terhadap enam orang hakim Mahkamah Agung.

Pada 2007, menurut beliau, sebuah RCI berhubung klip video Datuk V.K. Lingam telah ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam proses lantikan kehakiman oleh sesetengah hakim negara ini.

"Dalam kesemua keadaan ini, urusan-urusan lazim di kesemua mahkamah berjalan seperti biasa, dan tiada sebarang penangguhan diberikan oleh pihak mahkamah. Litigan berhak agar kes-kes mereka didengar dan diputuskan di mahkamah.

"Para hakim dan peguam bertanggungjawab untuk memastikan proses pengadilan tidak terganggu. Hujahan bahawa prosiding-prosiding mahkamah dan proses pengadilan seharusnya ditangguhkan sementara menunggu selesainya siasatan oleh RCI tidak mempunyai sebarang asas dari segi fakta mahupun undang-undang," katanya.

Selain itu, Tommy berkata, memandangkan RCI bakal ditubuhkan tidak lama lagi dan akan memulakan pertimbangannya selepas itu, diharapkan agar spekulasi orang ramai berhubung perkara berkenaan dapat dihentikan.

RCI seharusnya dibenarkan untuk melaksanakan tanggungjwabnya yang penting dengan cara yang tenang dan terkawal, katanya. - UTUSAN ONLINE