Tarilkh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar mahkamah itu, Mohd. Zamir Suhaimi ketika pengurusan kes hari ini.

1MDB Development Bhd. bersama dua syarikat subsidiarinya, 1MDB Global Investment Limited dan 1MDB Energy Holdings Limited serta kerajaan selaku pihak plaintif menamakan pemilik kapal, Vesel Equanimity dari Kepulauan Cayman sebagai defendan tunggal.

Pada tarikh itu, pengurusan kes tersebut akan dibuat di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Khadijah Idris.

Objektif prosiding adalah untuk meminta kapal itu dijual dan pada masa sama, satu perisythiran bahawa kumpulan 1MDB adalah pemilik kapal yang sah.

Peguam Negara Tommy Thomas sebelum ini berkata, kapal bernilai RM1 bilion itu dipercayai sebahagian daripada aset dibeli menggunakan dana 1MDB boleh dijual sementara menunggu proses litigasi, menerusi cara paling telus kerana pihaknya perlu mendapatkan wang daripada kapal itu.

Kapal layar mewah dipercayai ada kaitan dengan Jho Low yang melarikan diri, tiba di Pelabuhan Klang pada 7 Ogos lalu selepas diserahkan oleh pihak berkuasa Indonesia.

Kapal itu tiba ekoran waran sita yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Admiralti pada 6 Ogos lalu setelah membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Kapal Equanimity disita di perairan Bali oleh pihak berkuasa Indonesia pada Februari lalu atas permintaan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan siasatan rasuah membabitkan 1MDB berjumlah berbilion dolar.

Pada 24 Mac 2014, peguam yang dilantik Jho Low membeli Equanimity dan dipercayai diserahkan kepada Jho Low pada 20 Jun 2014.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong sebelum ini berkata, mengikut afidavit sokongan yang difailkan di mahkamah, rekod pada 9 September 2013 menyatakan kapal berkenaan dibina di Rotterdam, Belanda atas nama Low Taek Jho dan ibu bapanya iaitu Larry Low dan Evelyn Low. - UTUSAN ONLINE