KAMAL HISHAM
KAMAL HISHAM

Lima saksi tersebut ialah Setiausaha Syarikat Southern Ads Sdn. Bhd. (Southern Ads) dan seorang pengarahnya serta dua pegawai penyiasat polis dan seorang pegawai penyiasat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Setakat ini, sebanyak 19 saksi te­lah dipanggil memberi keterangan oleh pihak pendakwaan.

Menurut peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Kamal Hisham ketika ditemui selepas prosiding di kamar hakim di sini, perbicaraan kes itu yang dijadualkan hari ini ditangguhkan sehingga esok berikutan pegawai pendakwa daripada SSM, Mohd. Hafif Abu Bakar cuti sakit.

Prosiding di hadapan Hakim Mohd. Nasir Nordin itu turut diha­diri oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah mewa­kili pihak pendakwaan dan seorang lagi peguam mewakili Kamal Hisham­, Datuk Shaharudin Ali.

Kamal Hisham, 47, dibicarakan setelah meng­aku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pecah amanah melibatkan wang sebanyak RM533,000, sem­bilan pertuduhan ter­babit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah hampir RM150,000 dan enam pertuduhan di bawah Akta Syarikat.

Bagi pertuduhan pecah amanah, Kamal Hisham didakwa menggunakan dua syarikatnya untuk memasuki perjanjian penyewaan ruang niaga bernilai RM515,000 dan RM18,000 di bangunan JB Sentral tanpa persetujuan Lembaga Pengarah syarikat Southern Ads pada Di­sember 2009 dan Oktober 2010.

Di bawah pertuduhan Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 pula, dia didakwa menerima sembilan keping cek berjumlah RM149,518.33 yang merupakan hasil aktiviti haram di Bank Muamalat Malaysia Bhd. cawangan Taman Johor Jaya di sini antara 18 Mac dan 5 Ogos 2010.

Bagi enam pertuduhan di bawah Akta Syarikat, Kamal Hisham didakwa telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai pengarah dan pemegang saham Southern Ads serta gagal mendedahkan kepentingannya dalam dua syarikat lain berhubung urus niaga sewaan ruang perniagaan di JB Sentral antara 7 Ogos 2009 dan 31 Julai 2011.

Pertuduhan pecah amanah dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta boleh didenda manakala pertuduhan di bawah AMLA, tertuduh boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sementara pertuduhan di bawah Seksyen 132(2)(e) dan 131(1) Akta Syarikat, Kamal Hisham yang tidak dibenarkan diikat jamin sejak lebih dua tahun lalu, boleh dihukum penjara antara lima hingga tujuh tahun atau denda antara RM30,000 hingga RM150,000.