Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad yang mengetuai pasukan pendakwaan pada sebutan semula kes tersebut hari ini di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Rozina kemudian menetapkan 3 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan dokumen di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 25 Oktober lalu, Hasanah, 61, mengaku tidak bersalah atas tuduhan sebagai Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) didakwa telah melakukan pecah amanah ke atas wang AS$12.1 juta (RM50.43 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, JPM, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Selepas prosiding, peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah memberitahu pemberita, pihak pembelaan akan mengemukakan permohonan untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi tidak lama lagi. - UTUSAN ONLINE