Norzailan Omar

Norzailan Omar, 44, yang belum diwakili peguam bela kelihatan tersenyum sambil menutup mulutnya apabila gambarnya dirakam kira-kira pukul 9.45 pagi.

Ketika prosiding, Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah memaklumkan laporan kes itu masih belum lengkap.

Di luar mahkamah, Wan Ahmad Hijrah memberitahu pemberita, pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kimia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Pada 15 Jun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jelebu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM20,000.

Mengikut pertuduhan, Norzailan didakwa memandu tre­ler secara berbahaya tanpa mengambil perhatian tentang segala hal keadaan termasuk jenis, keadaan, saiz jalan dan kesesakan lalu lintas di jalan raya yang boleh dijangkakan atau mungkin ada di jalan itu sehingga menyebabkan lapan kematian di Kilometer 25 Jalan Bahau-Keratong, Jempol pada pukul 2.20 petang, 11 Jun lalu.

Mereka yang rentung ialah Wan Mohd. Fauzi Wan Ibrahim, 51; isterinya, Masnoraida M. Yusoff, 45, dan empat anak mereka, Wan Mohd. Muhaimin, 22, Wan Nur Athirah, 18, Wan Muhammad Ammar Ha­ziq, 13, dan Wan Nur Aleesya, 7.

Mangsa lain yang maut ialah pasangan suami isteri, Osman Mohamed Taip, 31, dan Rosniza Othman, 32.