Berikutan itu, Hakim Datuk Unaizah Mohd. menetapkan 12 Februari ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Mahkamah membenarkan kes tersebut ditangguh selama sebulan bagi menunggu laporan perubatan mangsa daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan representasi dari pihak pembelaan.

Kedua-dua tertuduh iaitu Mohd. Farid Fikri Mohamad, 32, dan isterinya, Fatimah Muhammad Zain, 37, melalui peguamnya dituduh melakukan dua kesalahan yang dikemukakan Timbalan Pendakwaraya, Shahrul Ekhsan Hassim.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 1 pagi hingga 9.15 pagi pada 5 Oktober lalu dengan menganiaya anak wanita berkenaan dengan cara merantainya di bahagian leher pada sebuah tong gas.

Bagi pertuduhan itu, kedua-kedua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) Akta yang sama dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua pula, pasangan itu didakwa antara pukul 8 pagi hingga pukul 10.30 malam, 31 September hingga 4 Oktober lalu melakukan kesalahan dengan mencapai niat bersama membiarkan mangsa tanpa mengadakan persediaan bagi pengawasan dan pemeliharaan yang berpatutan.

Untuk pertuduhan kedua, mereka didakwa mengikut Seksyen 33 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE