Noor Idzahril Ahmad
Noor Idzahril Ahmad

Peguam Mohd. Fadhly Yaacob yang mewakili Noor Idzahril berkata, pihaknya berharap permohonan itu akan dipertimbangkan oleh jabatan itu sebelum perbi­caraan tersebut bermula di Mahkamah Majistret Jawi di sini pada 3 Mei ini.

“Hari ini kami telah terima salinan laporan perubatan mangsa dan mahkamah telah menetapkan 3 Mei ini untuk perbicaraan kes biarpun kami memohon agar ia dijalankan secepat mungkin kerana melibatkan kepentingan awam.

“Bermula hari ini sehingga tarikh tersebut, kami akan ma­sukkan representasi dan berharap ia dipertimbangkan.

“Segala keputusannya akan diketahui pada 3 Mei ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada prosiding di hadapan Majistret Hizween Azleena Othman Kamal hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Uzair Abd. Munir telah mengemukakan laporan perubatan mangsa.

Noor Idzahril kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 11 Disember tahun lalu kerana didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas mangsa yang ketika itu berusia sembilan tahun di kelas 3 Bestari, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sentosa dekat sini pada pukul 10 pagi, 2 Ogos tahun lalu.

Guru Bahasa Inggeris itu yang kini bertugas di SK Sungai Acheh menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Mohd. Fadhly menambah, pihaknya belum dimaklumkan senarai saksi daripada pihak pendakwaan manakala bagi pihak pem­belaan, beliau akan berbincang dengan anak guamnya untuk menganalisis segala dokumen berkaitan.

Sementara itu Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Zambri Mohd. Isa berkata, pihaknya akan terus bersama pada hari perbicaraan bagi me­nunjukkan sokongan moral kepada Noor Idzahril.