Sehubungan itu, Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah di sini, Mohd. Nizar Mohtar meme­rintahkan keputusan perceraian pasangan tersebut hanya akan ditetapkan pada 28 Jun ini kerana perlu mendengar keputusan laporan jawatankuasa pendamai terlebih dahulu.

“Berdasarkan perkara tersebut, kamu (Armin Zaharin) tidak setuju kerana enggan melafazkan talak cerai (kepada Ziana) tanpa syarat.

“Sehubungan itu, sebuah Ja­wa­tankuasa Pendamai ditubuhkan selaras mengikut Seksyen 47(5) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 yang dipengerusikan oleh Pejabat Agama Daerah Petaling,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Nizar turut meme­rin­tahkan adik Ziana yang juga seorang penyanyi, Anuar Zain atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain mewakili kakaknya sementara Azizi Mohd. Yaakob mewakili Armin Zaharin dalam jawatankuasa tersebut.

“Permohonan hak penjaga­an anak perlu dikemukakan di Mahkamah Tinggi Syariah kerana merupakan bidang kuasa mereka,” jelasnya lagi.

Kedua-dua mereka tidak diwakili peguam.

Dalam prosiding selama 10 minit yang bermula pada pukul 11.30 pagi itu, Armin Zaharin, 53, menjelaskan dia boleh melafazkan talak namun meminta persetujuan bersama kerana belum berjumpa dengan keempat-empat anaknya sejak 2 Mac lagi.

Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zin, 50, bagaimanapun menegaskan, beliau mendapat arahan polis serta peguam bahawa keempat-empat anaknya itu adalah saksi dan tidak boleh berjumpa dengan Armin.

“Saya hanya mengikut kata polis walaupun belum memfailkan lagi hak penjagaan anak-anak. Justeru, selepas mahkamah boleh (jumpa anak),” katanya.

Pada 3 April lalu, Ziana menfailkan tuntutan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah dan difahamkan fail tuntutan penceraian itu berkaitan penderaan mental dialaminya, nafkah dan kes dera anak mereka.

Sementara itu, Ziana ketika ditemui di luar mahkamah melahirkan rasa syukur dan akan meneruskan kes penceraian itu.

“Saya bukan zalim sehingga melarang Armin berjumpa anak-anak namun kita harus mengikut undang-undang yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Perkara ini memang telah dijangka (memanjangkan kes permohonan cerai menggunakan anak) sebab ini merupakan perangai Armin namun saya rasa lebih tenang, redha dan bersedia,” katanya.