Tarikh tersebut ditetapkan Majistret Siti Radziah Kamarudin selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, K. Vasugi untuk tarikh lain sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Pada 14 Jun lalu, 19 penuntut institusi pengajian tinggi itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Md. Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Mereka yang lain ialah Mohd. Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd. Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd. Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany dan Mohamad Syazwan Musa.

Perbuatan tersebut di­dak­wa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat, universiti tersebut, Kem Perdana, Sungai Besi antara pukul 2.30 pagi dan pukul 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, antara pukul 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap kesemua penuntut itu yang kesemuanya berusia 21 tahun dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Semua tertuduh masing-masing diwakili peguam Mohd. Fadhly Hashim, Datuk Ranjit Singh Dhillon, Zamri Idrus, A.G. Kalidas, Datin Hazizah Kassim, Joshua Tay, Ariff Amirul Abdul Jani, dan Datuk Seri M. Ramachelvam.

Sementara itu, Muhammad Akmal Zuhairi, Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin, Mohamad Shobirin dan Abdoul Hakeem turut menghadapi tuduhan membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori. Kes bunuh itu sebelum ini ditetapkan untuk sebutan pada 14 Ogos ini.

Zulfarhan Osman, 21, Pegawai Kadet Laut UPNM meninggal dunia di Hospital Serdang kira-kira pukul 10 malam, 1 Jun lalu dengan kesan lebam dan melecur pada badan dipercayai didera dengan seterika wap selepas dituduh mencuri komputer riba.