Tertuduh Iskandar Zulkarnain Zolkifly, 26, menganggukkan ke­pala tanda memahami pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Najwa Hashim.

Tiada pengakuan direkodkan­ daripada tertuduh kerana kes itu melibatkan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Menurut kertas pertuduhan, Iskandar Zulkarnain telah menyebabkan kematian Robiatul Ain Mahamod, 27, antara pukul 8.30 malam dan 9 malam, pada 21 Oktober lalu di dalam sebuah rumah di Taman Temerloh Makmur.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 18 Disember ini, sebutan semula kes sementara menunggu laporan antaranya bedah siasat dan laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Pe­ga­wai Pendakwa, Inspektor Irmawathy Mohamad Yusof.

Tertuduh turut menghadapi pertuduhan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada 22 Oktober lalu.

Dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes itu akan disebut semula pada tarikh yang sama.

Sebelum ini, akhbar melapor­kan seorang pencuci kereta bertindak kejam menikam sepupunya sehingga mati selepas berlaku pertengkaran.

Mangsa yang merupakan anak seorang anggota polis membenarkan tertuduh menumpang tinggal di rumahnya, ditikam empat kali di bahagian muka dan satu tikaman di bahu.