Sekiranya perkara tersebut berlaku pada sebutan kes buat pertama kali di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin pada 28 Julai ini maka perbicaraan dijangka bermula sekitar November ini sebagaimana di­nyatakan dalam Seksyen 172B(4) Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan perbicaraan kes jenayah perlu dijalankan dalam tempoh 90 hari.

Tarikh sebutan tersebut dimaklumkan kepada pihak media oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhammad Iskandar Ahmad selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar, Mohamad Nasrudin Mohamed di Penjara Wanita Kajang di sini hari ini.

Pengurusan kes berke­na­an sepatutnya disebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam namun prosiding tersebut dipindahkan ke Kompleks Penjara Kajang atas alasan keselamatan.

Selain daripada pasukan pendakwaan, peguam-peguam bela, Datuk Hisyam Teh Pok Teik yang mewakili tertuduh Vietnam, Doan Thi Huong, 28, dan Gooi Soon Seng mewakili tertuduh Indonesia, Siti Aisyah, 25, serta wakil-wakil kedutaan masing-masing turut hadir pada pro­siding tersebut.

Peguam, Datuk Jagjit Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhati bagi Kedutaan Korea Utara juga hadir.

Pada 1 Mac lalu, Thi Huong dan Siti Aisyah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang atas pertuduhan bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas membunuh Jong-nam yang ketika itu menggunakan nama Kim Chol di Balai Berlepas KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan ke atas kedua-dua wa­nita terbabit dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Sementara itu, Hisyam ketika di­temui pemberita mem­beritahu, pihak pen­dakwaan telah membekalkan 44 set dokumen kepada barisan pem­belaan kedua-dua tertuduh pada prosiding yang berjalan kira-kira 20 minit itu.

“Berhubung perbicaraan, ia satu proses yang agak rumit. Sebahagian besar bukti tidak berada di negara ini, bukti penting ada di Vietnam. Kami sedang mencuba sebaik mungkin tetapi pada peringkat ini, kami tidak boleh dedahkan bukti yang dimaksudkan. Tetapi ia merupakan bukti paling penting,” ujarnya.

Soon Seng turut mengesahkan ada menerima 44 set dokumen yang antaranya, laporan kimia, rakaman percakapan, laporan toksikologi dan laporan bedah siasat abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un yang mengesahkan kematiannya adalah disebabkan bahan kimia ‘Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate’ atau Agen Saraf VX.