Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang, Iwanshah Wibisino berkata, pertemuan itu bagi membolehkan pihaknya mendapatkan penjelasan sebenar berhubung keputusan mahkamah menggugurkan kes tersebut.

Kata beliau, pertemuan itu diharapkan dapat dilakukan secepat mungkin memandangkan pihak konsulat juga perlu memberi penjelasan kepada keluarga Adelina di Kupang, Nusa Tenggara Timur berhubung perkembangan kes tersebut.

“Pengguguran kes mahkamah Adelina bukan sahaja mengejutkan rakyat Indonesia, malah rakyat Malaysia juga berkongsi reaksi yang sama.

“Begitupun, kami menghormati proses hukum yang berlaku dan berharap Adelina mendapatkan keadilan sewajarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan bekas majikan pembantu rumah berkenaan, Ambika MA Shan, 61, terlepas daripada hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini dilapor membebaskannya daripada tuduhan bunuh Adelina selepas Timbalan Pendakwa Rayaya meminta dia dilepaskan tanpa dibebaskan.

Keputusan itu mengejutkan banyak pihak termasuk Tenaganita dan Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) yang menuntut Peguam Negara, Tommy Thomas mengkaji semula pengguguran kes tersebut.

Kes penderaan terhadap Adelina pada tahun lalu mengejutkan negara apabila dia diselamatkan dari rumah majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam di sini dalam keadaan tidak bermaya selepas fotonya yang terbiar di luar rumah dirakam seorang jiran.

Ketika diselamatkan, Adelina didapati mengalami kecederaan teruk di seluruh badan dengan lengan dan kakinya dipenuhi luka bernanah akibat terbakar manakala mukanya bengkak.

Malah, mangsa juga dikatakan dipaksa tidur di luar rumah bersama anjing.

Bagaimanapun, Adelina gagal diselamatkan selepas meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Susulan kejadian itu, tiga beranak ditahan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim memaklumkan beliau turut menghubungi Tommy bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara tersebut.

“Peguam Negara telah memberi respons bahawa beliau secara peribadi akan menyiasat dan melihat apa langkah seterusnya.

“Saya percaya Thomas dan sistem undang-undang akan menegakkan keadilan,” katanya seperti dipetik laporan portal berita. - UTUSAN ONLINE