Artikel tersebut yang diterbitkan di bawah ruangan Analisis Mingguan Bisik-Bisik Awang Selamat disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia pada 9 November 2014.

Pihak-pihak bersetuju untuk merekodkan penghakiman persetujuan di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad dengan kehadiran Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Adnan.

Perbicaraan dijadualkan pada hari ini sehingga 11 Ogos ini. Namun begitu, mahkamah telah mengarahkan pihak-pihak untuk mencari jalan penyelesaian melalui sesi rundingan yang berlangsung dari pukul 9.30 pagi.

Penyelesaian tersebut tidak melibatkan sebarang kos, tiada sebarang permohonan maaf dan tiada penarikan balik artikel tersebut.

Antara terma penyelesaian yang dipersetujui antara kedua pihak adalah UMMB perlu menerbitkan kenyataan penjelasan di dalam akhbar Utusan Malaysia esok.

Selain itu, pihak-pihak juga bersetuju untuk UMMB menemubual Adnan dalam tempoh seminggu dari tarikh penghakiman persetujuan direkodkan.

Temubual itu berhubung kejayaaan beliau selama empat penggal mentadbir Pahang dan aspirasi beliau untuk negeri itu pada masa hadapan.

Adnan selaku pihak plaintif dalam samannya mendakwa, artikel itu membawa maksud seolah-olah beliau tidak sesuai memegang jawatan Menteri Besar Pahang, gagal dalam menjalankan tugas, telah terlalu lama dalam jawatannya dan seorang yang berpura-pura.

Permohonan UMMB untuk membatalkan saman Adnan sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 23 Julai 2015.

Rayuan UMMB terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu bagaimanapun telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan pada 1 Mac 2016 yang memutuskan Adnan tiada hak di sisi undang-undang atau locus standi untuk mengemukakan saman fitnah terhadap UMMB atas kapasitinya sebagai seorang pemimpin negeri.

Namun begitu Mahkamah Persekutuan pada 13 Februari lalu, memerintahkan supaya saman Adnan dibicarakan di Mahkamah Tinggi untuk meritnya didengar dan diputuskan selepas membenarkan rayuan Adnan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membatalkan tuntutan samannya. - Utusan Online