Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya telah selesai menjalankan siasatan terhadap lelaki berusia 47 tahun itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Bagaimanapun katanya, keputusan laporan perubatan bayi terbabit masih belum diterima daripada pihak hospital.

"Kertas Siasatan masih dalam kajian Timbalan Pendakwa Raya dan keputusan sama ada untuk menjalankan pertuduhan atau tidak, masih dalam pertimbangan mereka," katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian pada Khamis lalu, seorang lelaki ditahan setelah dipercayai mendera cucu lelakinya sendiri berikutan penemuan kesan dicucuh puntung rokok di bahu kanan dan perut bayi terbabit.

Keadaan yang menimpa bayi berusia setahun itu disedari pegawai perubatan di Hospital Batu Gajah semasa mangsa dibawa pengasuhnya ke hospital berkenaan untuk mendapatkan suntikan imunisasi pada hari sama.-UTUSAN ONLINE