Bekas Ketua Pembangkang itu membuat permohonan tersebut dalam saman pemula yang difailkan pada 9 Jun lalu atas alasan peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang dilantik oleh Peguam Negara untuk mengetuai pasukan pendakwaan kononnya tidak bebas dan dipengaruhi dengan wang.

Peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar memberitahu pemberita, Hakim Datuk Kamaludin Md. Said memerintahkan Peguam Kanan Persekutuan, Nadia Hanim Mohd. Tajuddin memfailkan afidavit bagi pihak kerajaan pada 12 Julai ini.

Afidavit tersebut bagi menjawab saman pemula tersebut dan juga permohonan penzahiran (discovery) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Muhammad Shafee supaya mereka mengemukakan penyata bank dalam tempoh tertentu.

Mahkamah selain itu memerintahkan, Muhammad Shafee yang diwakili peguam Sarah Abishegam memfailkan afidavit pada 19 Julai ini berhubung permohonan penzahiran supaya beliau mengemukakan penyata bank tersebut.

Hakim Kamaludin menetapkan 3 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam afidavitnya mendakwa, Muhammad Shafee telah menerima bayaran seba­nyak RM9.5 juta kira-kira 18 hari sebelum pendengaran rayuan pihak pendakwaan terhadap pelepasan dan pembebasannya atas pertuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Bayaran yang didakwa di­terima daripada Najib itu dikatakan telah menjejaskan peluang­nya untuk mendapat perbicaraan yang adil kerana peguam itu menjalankan tugasnya dengan tidak adil dan terpengaruh de­ngan dorongan kewangan.

Oleh yang demikian, Anwar selaku plaintif mendakwa hak beliau untuk mendapatkan perbicaraan yang adil mengikut Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan telah terjejas.

Sehubungan itu, plaintif me­mohon perisytiharan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan pa­da 7 Mac 2014 adalah ultra vires (me­lampaui bidang kuasa) terhadap Perlembagaan Persekutuan menjadikannya tidak sah dan terbatal.

Pihak plaintif turut memohon perisytiharan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan juga bertentangan dengan Perlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai sebarang kesan.