Panel lima hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri boleh menyaman individu atas dakwaan fitnah.

Kuorum berkenaan menolak prinsip Derbyshire (individu yang memegang jawatan kerajaan tidak boleh menyaman, berdasarkan kes Derbyshire County melawan Times Newspapers Ltd. di Britain pada 1993) kerana negara mempunyai undang-undang sedia ada, termasuk Akta Prosiding Kerajaan 1956 (GPA).

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan agar kes saman terhadap Chieng Jen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Kuching untuk perbicaraan selepas membenarkan sebahagian rayuannya.

Kerajaan Negeri Sarawak memfailkan saman fitnah terhadap Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu pada tahun 2012 selepas beliau mengeluarkan kenyataan yang kemudian dilaporkan oleh beberapa organisasi berita, termasuk Malaysiakini dan Sin Chew Daily. - UTUSAN ONLINE