Osmond Eweka, 31, memohon keizinan hakim kes tersebut untuk membenarkan dia pulang ke Nigeria bagi menyambut kelahiran anaknya. Walau bagaimanapun keputusan untuk membenarkan atau menolak permohonan itu hanya akan ditentukan oleh hakim pada bulan depan.

Dalam kes itu, Pejabat Peguam Daerah Manhattan berkata, kerabat diraja itu dan rakannya, Kamel McKay, 27, berpura-pura menguruskan dua firma perunding di Manhattan pada awal tahun ini dengan memberitahu para pelanggannya bahawa jika bayaran dibuat, mereka akan ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan di seluruh kotaraya New York.

Menurut dokumen mahkamah, Eweka dan McKay menggunakan ruang pejabat di Bangunan Empire State dan sebuah bangunan lain di Fifth Avenue untuk mengendalikan dua firma agensi pekerjaan palsu, Stamford Consulting Firm dan Howard Consulting Group.

Malah menurut New York Post, mereka juga menggunakan nama-nama palsu.

Eweka menggunakan nama Sean Jackson sementara McKay dilaporkan menggunakan nama Tyrone Hayes.

Pihak pendakwa berkata, mereka mengundang mangsa-mangsa ke pejabat mereka untuk proses temu duga dan kemudian meminta mereka membuat bayaran antara AS$300 (RM1,257) dan AS$700 (RM2,933), lapor Post.

TERTUDUH

Pendakwa Catherine McCaw berkata, mereka memberitahu pencari-pencari kerja terbabit bahawa bayaran tersebut merangkumi kos pakaian seragam, latihan dan pemeriksaan latar belakang.

Kedua-dua tertuduh juga berkata, dengan membuat jumlah bayaran yang tinggi membolehkan mereka mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan.

“Namun realitinya, pekerjaan sedemikian tidak wujud pun,” katanya semasa pertuduhan dikemukakan terhadap Eweka di Mahkamah Agung Manhanttan baru-baru ini.

Selepas mengutip wang tersebut, kedua-dua lelaki itu menghantar pencari-pencari kerja ke syarikat perniagaan yang berbeza-beza, namun mereka akan ditolak oleh para majikan yang tidak memerlukan khidmat mereka.

Mangsa-mangsa terbabit kemudian mendapati mereka tidak lagi boleh menghubungi penipu-penipu tersebut atau firma perunding berkenaan.

Menurut pihak berkuasa, Eweka dan McKay menipu 250 orang dan mengelapkan wang berjumlah lebih AS$54,000 (RM226,259). Pihak pendakwa berkata, mereka langsung tidak menyediakan pekerjaan.

Mereka didakwa melakukan penipuan itu antara Januari hingga Jun lalu.

Berdasarkan laporan, Eweka adalah putera daripada kaum kerabat Benin di Nigeria, dan merupakan warganegara Amerika Syarikat yang menetap di New Jersey sementara McKay pula dari Bronx.

Kedua-duanya didakwa atas tuduhan melakukan kecurian dan terlibat dalam skim penipuan. McKay dibebaskan dengan jaminan AS$200,000 (RM838,000), lapor New York Times

Eweka yang mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut dibebaskan tanpa sebarang jaminan.

Pada tahun 2016, Eweka berkahwin dengan peguam, Imade Igbinedion dalam satu upacara pernikahan yang rumit di Nigeria.

Wakil daripada keluarga diraja Benin memberitahu New York Times bahawa mereka tidak dapat mengesahkan sama ada Eweka adalah ahli keluarga mereka kerana ‘keluarga mereka sangat besar’. – DailyMail.com