Hakim Datuk Yew Jen Kie turut menetapkan tarikh yang sama untuk menetapkan keputusan mahkamah sama ada menerima atau menolak permohonan pembatalan saman yang dikemukakan Mohd. Shafie terhadap Musa.

Keputusan itu dibuat di dalam kamar hakim selepas pengurusan kes saman pemula Musa yang dikendalikan peguamnya, Tengku Fuad Ahmad.

Sementara itu, dalam prosiding kes tersebut, Datuk Douglas Lind mewakili Mohd. Shafie.

Pada 5 Jun lalu, Musa mengemukakan writ saman bagi memohon supaya dikekalkan sebagai Ketua Menteri Sabah selepas beliau mengangkat sumpah secara sah di hadapan Yang Dipertua, Tun Juhar Mahiruddin pada 10 Mei lalu.

Selain itu, writ saman berkenaan juga mendakwa pelantikan Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri di hadapan Juhar di Istana Ne­geri dekat sini pada 12 Mei lalu adalah tidak mengikut Perlembangaan negeri.

Bagaimanapun, sehari selepas itu, Mohd. Shafie memohon untuk membatalkan tuntutan writ saman Musa terhadapnya kerana disifatkan tidak mempunyai asas untuk mencabar pelantikannya sebagai Ketua Menteri.

Permohonan Shafie difailkan menerusi afidavit menyatakan pelantikannya adalah berdasarkan kepada majoriti mudah kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) hasil gabungan Warisan, Pakatan Harapan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO). - UTUSAN ONLINE