Hakim Azrul Darus memutuskan tarikh tersebut hari ini selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memberi peluang kepada Jabatan Peguam Negara meneliti representasi secara bertulis untuk menarik balik pertuduhan yang diserahkan pada 26 Februari lalu oleh peguam Shahrul Nizam Azwir yang mewakili tertuduh.

Di mahkamah berasingan, Timbalan Pendakwa Raya, M. Arunjothy turut memohon tarikh sama untuk sebutan semula bagi keputusan tersebut dan Hakim Suzanna Hussin membenarkan permohonan itu.

Pada 2 Februari lalu, tertuduh yang dipanggil oleh ketiga-tiga mangsa sebagai ‘Pak Su’ mengaku tidak bersalah atas 334 pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak saudaranya kini berusia 13 tahun yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu sejak lapan tahun lalu.

Pada 5 Februari pula, tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah atas 253 pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan seorang lagi anak saudaranya yang kini berusia 17 tahun sejak mangsa berusia enam tahun.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang sudah berkahwin itu juga menghadapi satu tuduhan cuba merogol seorang lagi anak saudaranya, kini berusia 10 tahun yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu antara Januari 2017 dan Disember tahun sama serta didakwa mengikut Seksyen 376B/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun.

Tertuduh yang tidak mempunyai anak, didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah flat di Ampang, Hulu Langat dekat sini, antara Januari 2006 dan Januari 2018. - UTUSAN ONLINE